Pelakon Syatilla Melvin menganggap penyebaran berita oleh sebuah blog kononnya dia kini sedang hamil adalah fitnah dan sengaja dilakukan bagi menjatuhkan reputasinya dan suami, aktor Shaheizy Sam.
Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirul Melvin, 25, berkata, apa yang menyebabkan dia kesal apabila pihak tidak bertanggungjawab itu menggunakan nama mereka demi mengaut keuntungan semata-mata untuk mengejar ‘rating’ jika blog mereka dibaca ramai orang.
“Pada saya ia bukan satu doa untuk kami sebaliknya mereka sengaja membuat fitnah demi mengaut keuntungan apabila ada pembaca yang klik berita berkenaan.“Ini bukan kali pertama blog sama membuat fitnah terhadap saya tetapi kali ini saya bersuara kerana ia boleh mengundang masalah selain ia menjatuhkan reputasi kami berdua.“Bayangkan keluarga kami yang baca dan tidak tahu apa-apa mengenainya mungkin mereka akan salah faham terhadap kami,” katanya kepada mStar Online.
Tambahnya buat masa ini dia tidak berniat untuk mengambil sebarang tindakan kerana enggan melayan sikap individu yang tidak bertanggungjawab.
Dalam pada itu, bercakap mengenai pengalaman bergelar isteri, Syatilla berkata, dia jarang dapat meluangkan masa bersama Sam kerana kesibukan aktor berkenaan di lokasi penggambaran sejak mereka berkahwin.
Syatilla tidak berkecil hati dengan kesibukan suaminya.
Bagaimanapun tidak berkecil hati sering ditinggalkan suaminya itu kerana memahami karier Sam dan sudah terbiasa dengan keadaan itu sebelum mereka berkahwin lagi.
“Alhamdulillah semuanya okey cuma terlalu baharu hendak bercakap mengenai perkara itu kerana kami jarang dapat meluangkan masa bersama.“Ini kerana Sam sangat sibuk di lokasi penggambaran tetapi saya tiada masalah dan jika ada masa terluang saya akan melawatnya di lokasi atau mengikutnya jika ada penggambaran di luar kawasan,” ujarnya.
Sementara itu, Syatilla berkata, bagi mengelakkan dirinya bosan dia ada menerima tawaran berlakon tetapi tidak serancak dahulu kerana Sam ingin dia mengurangkan aktiviti lakonan.
“Jika Sam tiada baharulah saya akan ambil tawaran dan menghadiri majlis kerana sekurang-kurangnya saya tidak berasa terlalu bosan.“Bagaimanapun saya masih berpegang pada permintaan suami agar memperlahankan karier seni selepas berkahwin,” ujarnya.
Sam dan Syatilla berkahwin pada 8 Februari lalu pada majlis diadakan di Pulau Pinang.
Sumber: Mstar Online
0 Response to "Syatilla Melvin Anggap Laporan Hamil Satu Fitnah"
Post a Comment