Muar: "Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) akan biayai sepenuhnya kos rawatan jantung Acan."
Berikut adalah titah Tunku Mahkota Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkenan menyampaikan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sewaktu menziarahi Muhammad Fikri Hakim Sikin @ Jaudin, 15, di rumahnya di Bukit Pasir, hari ini.
Tunku Ismail yang tiba pada jam 1.20 petang tadi, meluangkan masa lebih 20 minit bertanya khabar adik Muhammad Fikri atau lebih mesra dengan panggilan Acan.
Perbualan antara mereka banyak berkisarkan tahap kesihatan kanak-kanak terbabit selain berbual mengenai pasukan JDT yang menjadi pasukan bola sepak kegemaran Muhammad Fikri.
Dalam kunjungan itu juga Tunku Ismail berkenan menyampaikan sebiji bola yang ditanda tangani semua pemain JDT, dua jersi yang dicetak nama Acan dibelakangnya serta sumbangan wang tunai.
Tunku Ismail kemudian berangkat pulang kira-kira jam 1.50 tadi.
Muhammad Fikri ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka menerima kunjungan Tunku Ismail dan mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro kerana menjadikan impian tercapai.
Sebelum ini kisah Muhammad Fikri Hakim yang menderita masalah jantung kronik kira-kira enam bulan selepas dilahirkan, disiarkan muka depan akhbar Harian Metro, Selasa lalu.
Muhammad Fikri sebelum ini pernah menerima surat persediaan mati pada 2013 selepas doktor mengesahkan jantungnya tidak mungkin boleh bertahan lebih lama.
Malah nyawanya yang kini hanya bergantung pada tiub oksigen yang disalurkan pada hidung mendapat perhatian pelbagai pihak.
Anak kedua dari tiga beradik itu bagaimanapun langsung tidak mengeluh mahupun menunjukkan penderitaan yang dialami, malah berkat doa dan semangat untuk teruskan hidup berjaya memanjangkan umurnya sehingga kini.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 3:46 PM
0 Response to "Rezeki Muhammad Fikri [METROTV]"
Post a Comment